Deskripsi Tugas Pegawai Bomba KB19

Jawatan Pegawai Bomba adalah antara jawatan yang menjadi pilihan ramai pemohon lepasan SPM menerusi portal SPA9. Ia merupakan satu jawatan murni yang memerlukan pengorbanan serta keberanian tinggi seseorang calon.

Secara ringkasnya, tanggungjawab seorang Pegawai Bomba KB19 adalah melaksanakan kerja-kerja operasi pemadaman dan penyelamatan, penyelenggaraan harian dan pemanduan jentera bomba serta melaksanakan kerja-kerja pengawasan di bilik kawalan dan pemeriksaan premis.

Deskripsi Tugas Pegawai Bomba gred KB19

Deskripsi Tugas  Pegawai Bomba

Jawatan Pegawai Bomba gred KB19 berada di dalam kumpulan perkhidmatan pelaksana, di bawah klasifikasi perkhidmatan Keselamatan dan Pertahanan Awam. Calon yang berjaya lulus sehingga ke peringkat temuduga akan ditempatkan di Jabatan Bomba dan Penyelemat Malaysia di seluruh negara termasuklah di Sabah dan Sarawak.

Kelayakan Fizikal

Untuk menjawat jawatan ini, calon bukan sekadar perlu melepasi tahap penilaian Psikometrik, tetapi juga memenuhi kelayakan fizikal seperti di bawah:
  • tinggi sekurang-kurangnya 1.57m bagi lelaki dan 1.53m bagi wanita tanpa bersepatu;
  • berat badan sekurang-kurangnya 48kg bagi lelaki dan 46kg bagi wanita;
  • mempunyai ukuran Indeks Jisim Badan (BMI) di antara julat 19 hingga 26;
  • mempunyai sekurang-kurangnya 81sm ukuran dada yang biasa dan 86sm semasa menarik nafas (lelaki sahaja);
  • lulus dalam ujian penglihatan bagi mata kiri dan kanan yang diuji berasingan dengan ketetapan V6/9 tanpa menggunakan cermin mata;
  • pengecaman warna dan pendengaran yang tidak cacat; dan
  • diperiksa dan diperakui sihat untuk berkhidmat oleh pengamal perubatan yang berdaftar

Skop, Fungsi dan Tugas Pegawai Bomba KB19

Deskripsi Tugas Pegawai Bomba KB19

1. Melaksanakan kerja-kerja operasi pemadaman dan penyelamatan seperti berikut:

  • Membuat persediaan tugas-tugas operasi pemadaman dan penyelamatan di balai.
  • Menjalankan operasi pemadaman kebakaran dan penyelamatan.
  • Membuat penyiasatan kebakaran bagi setiap kebakaran. 
  • Membuat kajian kawasan dan pili bomba di kawasan jagaan balai. 
  • Membantu membuat pemeriksaan premis.
  • Membuat pemeriksaan (check list) dan merekod setiap jentera serta peralatan kebombaan.
  • Menjalankan latihan kemahiran dalam balai dan di bangunan di kawasan jagaan.
  • Membantu menyediakan contingecy pra kebakaran.

2. Melaksanakan kerja penyelenggaraan harian ke atas jentera bomba dengan cekap yang meliputi aspek-aspek berikut: 

  • Melakukan kerja-kerja pemeriksaan harian ke atas jentera bomba selepas pertukaran pasukan bertugas berdasarkan jadual kerja harian.
  • Membuat ujian perjalanan dan ujian keupayaan ke atas kereta bomba.
  • Menentukan kebersihan jentera dan keselamatannya.

3. Mengendalikan pam bomba yang meliputi aspek-aspek berikut:

  • Menentukan ujian-ujian pam bomba dengan penjadualan dan peraturan jabatan.
  • Menentukan segala prosedur pengendalian pam bomba semasa kerja-kerja pemadaman, kecemasan dan bencana dipatuhi.
  • Melaporkan apa-apa kerosakan dan masalah pam dengan serta merta dan mengikut peraturan jabatan kepada ketua skuad keluaran/ pegawai operasi pasukan/ pegawai penjaga balai.

4. Melaksanakan tugas-tugas pemanduan jentera bomba dengan cekap yang meliputi aspek-aspek berikut: 

  • Memandu jentera bomba ke tempat kejadian kebakaran, bencana dan apa-apa penyelamatan.
  • Mengendalikan operasi jentera bomba seperti pam dan primer, apa-apa peralatan hidrolik yang lain-lain.
  • Membuat catatan ke dalam rekod perjalanan jentera bomba mengikut arahan jabatan.

5. Melaksanakan kerja-kerja di Bilik Kawalan dan Pengawasan yang meliputi aspek-aspek berikut: 

  • Mengendalikan dan pengujian alat-alat perhubungan telefon talian terus dan lain-lain peralatan telefon yang diletakkan di dalam bilik kawalan. 
  • Mencatat atau merekodkan dalam buku catatan harian bilik kawalan serta mengarahkan pasukan keluaran di balai-balai cawangan untuk menghadiri hal-hal kecemasan.
  • Memberitahu kepada pegawai kanan bomba dan pegawaipegawai di agensi-agensi mustahak seperti Pasukan Polis, Tenaga Nasional Bhd, Hospital, Bulan Sabit Merah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, JBA dan lain-lain tentang hal-hal kecemasan.
  • Mengendalikan alat-alat komunikasi di kereta bomba dan di balai-balai. 

Calon yang memohon jawatan ini, mestilah memenuhi aspek kecenderungan kepada ketelitian, sikap bertanggungjawab yang tinggi, bekerjasama, mampu berkomunikasi dengan baik sesama rakan pasukan, mampu berinteraksi dengan masyarakat.

Calon mesti seorang yang ada integriti, tidak mudah dipengaruhi dengan rasuah, sentiasa berdisiplin dan berwaspada. Sedar mengenai ancaman-ancaman dan sanggup menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Nak tengok contoh-contoh soalan yang ditanya bagi jawatan Pegawai Bomba KB19?